Advertisement - Contact Us

Saya tidak tahu Jho Low berkomunikasi dengan Ambank mengenai akaun saya, kata Najib


[9 Disember 2019]

Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC International) hari ini, beliau terkejut apabila mendapati AmBank berkomunikasi dengan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho mengenai perkara berkaitan akaun bank miliknya.
Beliau berkata Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, tidak pernah diberi kuasa untuk berurusan dengan AmBank bagi pihaknya, sebaliknya hanya bekas ketua pegawai eksekutif Nik Faisal Ariff Kamil yang diberi kuasa untuk menguruskan akaunnya.
“Jho Low memilih untuk tidak memberitahu saya tentang penglibatannya dalam akaun saya. Saya hanya tahu mengenainya semasa perbicaraan saya,” katanya, sambil menambah bahawa ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu mengambil “langkah aktif” menyembunyikan perkara tersebut daripadanya.
Najib berkata demikian ketika ditanya oleh peguamnya, Rahmat Hazlan mengenai testimoni bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu yang mengatakan Low memberi arahan melalui aplikasi perbualan Blackberry Messenger.
Yu juga berkata beliau akan menghubungi Low jika tidak dapat menghubungi Nik Faisal.
Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, beliau juga tidak mengetahui apa-apa mengenai status pengeluaran berlebihan daripada akaun AmBank itu, serta mengenai tindakan Yu memberitahu Low tentang situasi yang menyaksikan ahli perniagaan itu mendepositkan wang supaya akaun berkenaan dapat beroperasi seperti biasa.
“Saya faham situasi terlebih keluar adalah disebabkan banyak cek dikeluarkan daripada akaun saya.
“Azlin memberitahu saya bahawa terdapat wang yang cukup untuk cek tersebut,” katanya, merujuk kepada bekas ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias.
“Saya tidak akan membiarkan cek dikeluarkan sekiranya saya tahu situasi sebenar,” katanya.
Najib juga berkata beliau tidak menyedari Low, dengan bantuan Yu, telah mendepositkan lebih RM12 juta ke dalam akaunnya secara berperingkat, atau amaran yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia mengenai perkara itu.
“Sekiranya cerita mengenai akaun itu pecah, pembangkang pada masa itu akan menjadikannya isu untuk menyerang saya,” katanya, sambil menambah bahawa bank pusat berkenaan tidak memaklumkan kepadanya mengenai keadaan berkaitan akaunnya.
Apabila ditanya mengapa Nik Faisal diberi kuasa untuk menguruskan semua 5 akaunnya, Najib berkata ia adalah keputusan Azlin.
“Dia (Azlin) mengambil tanggungjawab untuk mencari orang yang boleh dipercayai, dan saya membiarkannya,” katanya.
Sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) pada masa itu, kata Najib, beliau sibuk dengan tugas lain dan tidak dapat mengurus sendiri akaun banknya.
Najib juga berkata beliau tidak melihat akaunnya di bank lain kerana Azlin yang sepatutnya mengendalikan urusan tersebut.
“Dia (Azlin) akan memberitahu saya berapa banyak ada dalam akaun jika saya mahu membuat apa-apa bayaran.”
R Uma Devi, pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal dilantik untuk menguruskan 5 akaun Najib di situ.
Beliau berkata Najib membuka 2 akaun antara 13 dan 18 Jan 2011 dan menutupnya pada 30 Ogos 2015.
Tiga lagi akaun dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.
Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama