Advertisement - Contact Us

Saya rasa lega Zeti tahu tentang wang derma dari Arab Saudi – Najib


[9 Disember 2019]

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan Bank Negara Malaysia (BNM) serta gabenornya ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sedia maklum tentang derma bilion dolar dari Arab Saudi.
Kata Najib ketika perbicaraan SRC International hari ke-61 sebentar tadi, sumbangan itu yang dimasukkan ke dalam akuan peribadinya di Ambank antara 2011 sehingga 2013.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, walaupun tidak dapat dipastikan tarikh yang jelas pertemuan antara beliau dengan Zeti namun Najib tidak ‘lupa’ tentang perbualannya dengan bekas Gabenor itu.
“Zeti sendiri ada memberitahu saya tentang wang derma dari Arab Saudi itu, saya berasa lega kerana beliau sedia maklum tentang perkara tersebut.
“Saya beritahu beliau ketika membuka akaun bank Ambank kerana derma itu akan dimasukan ke dalam akaun itu.
“Saya juga pernah ditunjukkan beberapa surat daripada wakil Raja Abdullah tentang pemberian derma ini. Saya difahamkan kewujudan derma ini dan surat itu dilaporkan kepada pihak bank serta Zeti Aziz secara langsung.
“Ini juga sebenarnya telah membentuk asas kepada kepercayaan saya bahawa sebarang jumlah dalam akaun baharu adalah dana yang boleh saya gunakan atas budi bicara mutlak saya,”  katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Datuk Azlin Alias

Sebelum ini Najib telah mendedahkan dirinya telah menerima derma sebanyak RM3.217 bilion dalam tempoh tiga tahun ke dalam akaun peribadinya.
Jelasnya, kemasukan wang itu dimaklumkan secara berkala oleh bekas Setiausaha Sulitnya, arwah Datuk Azlin Alias, selepas diberitahu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Bagaimanapun Najib mengakui dirinya tidak pasti dengan  secara tepat transaksi kredit akaun 694 dari tahun 2011 hingga 2013 sebaliknya diberitahu secara berkala oleh Azlin mengenai wang yang dimasukkan daripada luar negara dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Najib juga bertegas arwah Azlin adalah seorang pegawai yang memiliki integriti dan terhormat dalam setiap urusan dilakukan olehnya.
Sebaliknya, Najib yakin Azlin sebenarnya telah ditipu dan dimanipulasi oleh Jho Low serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Datuk Nik Faisal Ariff Kamil.
“Saya percaya Azlin telah ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal menggunakan pengaruh mereka dalam bank dan boleh manipulasi perkara untuk kepentingan lanjut bukan sahaja dalam transaksi bank akaun peribadi.
“Tetapi juga hal-hal berkaitan dengan SRC International,” ujarnya.
Perbicaraan bersambung ketika ini.
••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

Bank Negara tahu tentang sumbangan Arab Saudi, kata Najib



Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC International) hari ini, bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan bekas gabenor Zeti Akhtar Aziz menyedari “sumbangan Arab” yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara 2011 dan 2014.
Katanya, beliau ada memberitahu Zeti bahawa beliau menjangkakan dana itu ketika membuka akaunnya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila perbualan tersebut berlaku.
“Dia memberitahu saya dia mengambil maklum mengenainya. Ia adalah suatu kelegaan bagi saya apabila bank pusat itu telah dimaklumkan,” katanya.
Beliau juga memberitahu mahkamah berhubung surat yang memaklumkan kepadanya mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, yang dipindahkan ke akaun AmBanknya yang berakhir 694 antara 2011 dan 2013.
Minggu lalu, beliau memberitahu menerima AS$1.05 bilion daripada Raja Abdullah dalam tempoh itu untuk tujuan “tanggungjawab sosial korporat” dan pilihan raya umum.
“Azlin memperlihatkan kepada saya surat-surat yang diterimanya daripada Jho Low mengenai wang Raja Abdullah,” katanya, merujuk kepada ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias dan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho.
“Beliau (Low) juga menyerahkan salinan surat kepada AmBank,” katanya.
Najib berkata beliau percaya surat asal masih berada di Pejabat Perdana Menteri, dan beliau memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya semasa siasatan dibuat oleh agensi itu.
Ketika ditanya oleh peguamnya, Rahmat Hazlan mengenai pemulangan AS$620 juta daripada jumlah sumbangan AS$680.9 juta yang diterima pada 2013, Najib berkata BNM dimaklumkan supaya ia dapat melakukan urusan yang perlu diperlukan.
Beliau berkata Azlin memaklumkan kepadanya bahawa Raja Abdullah juga memindahkan £9.46 juta secara tunai kepadanya antara Oktober dan Disember 2014.
Beliau berkata wang itu datang daripada Blackrock Commodities Pty Ltd dan Vista Equity International Partners Ltd.
“Saya faham bahawa pemindahan dana itu dilaporkan kepada BNM sebagai sumbangan daripada Raja Abdullah, dan surat itu dibawa kepada perhatian Zeti oleh AmBank,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau telah memaklumkan Wisma Putra mengenai sumbangan itu dalam kapasiti rasmi, Najib berkata tidak.
“Sumbangan itu bukanlah sesuatu yang saya cuba sembunyikan kerana perkara tersebut telah dimaklumkan kepada AmBank dan semua transaksi dilaporkan kepada BNM dan Zeti,” katanya.
Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama