Advertisement - Contact Us

Tertunaikah Perubahan Yang Dijanjikan Setahun Lalu? - Bernama


"PULAU PINANG, 8 Mac (Bernama) -- Setahun sudah berlalu sejak "perubahan arus politik" melanda lima negeri di Malaysia dan persoalan yang timbul sekarang ialah sejauh manakah perubahan itu membawa kebaikan kepada rakyat di negeri berkenaan.

Mungkin masih terlalu awal untuk mengukur perubahan yang dicapai. Namun demikian, kebanyakan pihak berpendapat tidak banyak perubahan besar yang terlaksana di lima negeri berkenaan daripada segi pembangunan.

Malam tadi, satu majlis sambutan berlangsung di Padang Kota Lama di sini, yang menyaksikan penampilan istimewa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Melalui pilihan raya umum setahun lalu, beliau dan beberapa orang lagi daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri. Mereka sendiri dikatakan terkejut dengan kemenangan masing-masing.

Berikutan kemenangan itu, Lim, yang juga dikenali sebagai "Mr Opposition" dan pernah meringkuk di penjara kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan, menerajui kerajaan negeri.

Perubahan nasib yang dialaminya itu diceritakan sendiri oleh Guan Eng pada majlis berkenaan dan disambut dengan tepukan bergemuruh oleh ramai hadirin.

Selain Pulau Pinang, gabungan DAP-PKR-PAS juga tidak disangka-sangka memperoleh kuasa di Kedah, Perak dan Selangor serta PAS terus mengekalkan pemerintahan di Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri DAP-PKR-PAS di Perak runtuh bulan lepas, kurang sebulan untuk genap setahun, apabila tiga Anggota Dewan Undangan Negeri mereka -- dua daripada PKR dan satu daripada DAP -- mengambil keputusan menjadi wakil rakyat bebas dan berikrar menyokong Barisan Nasional (BN).

Apabila berbicara tentang perubahan yang berlaku di lima negeri berkenaan, sudah tentulah ahli politik akan melihatnya daripada perspektif berbeza.

Bagi pembangkang di beberapa negeri berkenaan, iaitu BN, mereka mempertikaikan perubahan yang kononnya telah dibawa oleh gabungan DAP-PKR-PAS.

Ahli politik BN berkata mereka tidak melihat sebarang perubahan atau kejayaan besar yang dicapai di negeri terbabit, walaupun gabungan itu berjanji akan melaksanakan pelbagai perubahan dan inisiatif sejak setahun lepas.

"Mereka membuat pelbagai dakwaan, tapi tidak menyertakan sebarang bukti. Tidak dinafikan, mereka mencapai kemajuan daripada segi pungutan hasil taksiran. Tapi, ini bukan sesuatu yang baru kerana perkara itu pernah dicapai sebelum ini, walaupun kami tidak pernah menghebohkannya," kata setiausaha agung Gerakan Teng Chang Yeow.

Chang Yeow, bekas anggota Exco Pulau Pinang yang bertanggungjawab bagi pembangunan pelancongan dan alam sekitar, berkata dalam kedudukan bajet yang ketat, kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya sudah menemui cara baru bagi menjana lebih banyak hasil, seperti melalui peranan yang dimainkan oleh majlis tempatan.

Bagaimanapun, kata Chang Yeow, hingga kini, beliau belum melihat usaha seperti itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri, selain meneruskan dasar kerajaan negeri sebelum ini.

Bagi beberapa orang lain pula, satu-satunya perubahan dan pencapaian ketara yang berjaya ditampilkan oleh kerajaan negeri sekarang ialah "kerajaan negeri Pulau Pinang ialah Lim Guan Eng." Itu saja.

"Walaupun beliau (Guan Eng) ada exco negeri, bagi mereka di peringkat akar umbi, kerajaan negeri ialah Lim Guan Eng. Saya tak nampak wujudnya penurunan kuasa dan ini mewujudkan satu lagi persepsi -- sama ada mereka ini (ahli politik DAP, PKR dan PAS) memainkan peranan penting dalam kerajaan," kata pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nam.

Dr Teng, yang pernah menyandang jawatan exco, berkata satu-satunya strategi yang kerajaan pimpinan DAP laksanakan ialah menonjolkan bahawa ketua menteri menghadiri semua majlis -- ada kalanya 10 hingga 12 majlis sehari, siap dengan liputan media.

"Perbuatan ini sudah tentu memakan banyak wang dan masa. Sebagai ketua menteri dan Anggota Parlimen Bagan, tak tahulah saya bagaimana beliau mentadbir negeri ini.

"Saya tak tahu bilakah masanya ketua menteri dapat duduk dengan tenang dan merancang serta mengatur strategi bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh negeri ini sekarang. Bagi beliau, apa yang lebih penting ialah membuat lebih banyak kenyataan dan mencari lebih banyak publisiti," kata Dr Teng.

Para penganalisis politik berpendapat kerajaan negeri gabungan DAP-PKR-PAS tidak sepatutnya berlengah dalam melaksanakan "kerja menaik taraf" setelah mereka selesai melaksanakan "operasi pembersihan" pada pilihan raya umum lepas.

"Saya belum nampak wujudnya sebarang rancangan atau kaedah penting bagi membantu negeri-negeri yang mereka kuasai untuk mengatasi masalah kejatuhan ekonomi sekarang. Saya belum nampak wujudnya pelan menyeluruh seperti itu. Bagaimanakah rakyat di negeri berkenaan mampu menghadapi masalah ekonomi yang wujud sekarang?" kata Dr Oh Ei Sun, seorng penganalisis politik.

Dr Oh berkata satu pelan ekonomi yang menyeluruh perlu diwujudkan memandangkan banyak orang berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja dalam keadaan ekonomi dan suasana perniagaan yang lembap sekarang. Beliau mendapati prestasi negeri-negeri yang dikuasai DAP-PKR-PAS adalah tidak sama. Di Selangor, contohnya, prestasi kerajaan tempatan agak baik, tapi tidak begitu halnya di Kedah.

Bagaimanapun, seperti yang ditegaskan oleh Chang Yeow, biar apapun yang diperkatakan tentang negeri-negeri yang dikuasai oleh DAP-PKR-PAS, orang ramai nampaknya "bertolak ansur" dengan kelemahan mereka kerana mereka mempunyai pandangan tidak baik terhadap BN sejak Mac lepas kerana parti gabungan itu diangap "kasar dan mengamalkan rasuah".

"Apa saja yang kami lakukan, sama ada betul atau salah, kami menerima kesan buruk akibat persepsi itu. Mereka (gabungan DAP-PKR-PAS) sering dilihat sebagai masih baru dan perlu diberi peluang. Tapi, apa saja tentang BN, semuanya mereka kata tak betul.

"Orang merelakan saja mereka (gabungan DAP-PKR-PAS) membuat kesilapan kerana wujudnya persepsi yang tidak baik tentang BN. BN perlu melakukan perubahan dengan secepat mungkin bagi menangkis persepsi itu. Ia perlu diperbetulkan," kata Chang Yeow.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula percaya rakyat masih mempunyai keyakinan terhadap gabungan DAP-PKR-PAS.

"Kami sedar rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kami. Memang mereka ada mengkritik kami, tapi menerimanya secara terbuka.

"Bagi kami, cabaran paling besar ialah bagaimana hendak menggerakkan orang ramai supaya bergerak seiring dengan kerajaan dalam melaksanakan semua perubahan yang dirancang," kata Chow, yang juga anggota Exco yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan, pengurusan lalu lintas dan alam sekitar."
- Bernama

Sememangnya inilah langkah yang terbaik yang boleh diberikan rakyat kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yakni peluang untuk mereka membuktikan sesuatu. Memang tidak dinafikan bahawa tempoh 1 tahun bukanlah masa yang paling sesuai untuk kita terutama rakyat menghukum mahupun mengiktirafkan kemampuan dan kejayaan PR Pulau Pinang. Tempoh 1 tahun merupakan tempoh yang amat singkat dan sudah tentu bukan mudah untuk orang baru dan kerajaan baru membuktikan sesuatu apatah lagi melibatkan satu anjakan atau perubahan drastik. Mungkin dalam tempoh 1 tahun ini, mereka masih dalam proses merancang dan merangka pelan tindakan dan menyusun strategi berkenaan apa yang perlu dilakukan dan dilaksanakan kepada negeri Pulau Pinang.

Kita ketepikan dulu perkara yang belum dilaksanakan atau masih dalam perancangan kerana penilaian tanpa bukti adalah satu tindakan yang tidak adil kepada Pakatan Rakyat. Cuba kita nilai apa yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang sepanjang tempah 1 tahun pemerintahan kerajaan Pakatan rakyat. Jelas kebanyakan program dan tindkan yang telah dilaksanakan tidak lebih hanyalah bertujuan untuk menarik publisiti dan sokongan rakyat. Bermula dengan tindakan menghapuskan saman PBT terdahulu dan seterusnya pemberian subsidi beras dan sedikit wang saku yang bernilai kira-kira RM 50 kepada golongan berpendapatan rendah, ianya langsung tidak menjadi kudis kepada rakyat kerana konsep kebajikan yang cuba diperkenalkan PR langsung tidak membawa perubahan dan cara hidup yang drastik dan positif.

Mungkin tindakan kerajaan yang memberi air percuma pada setiap 20 meter padu pertama dalam bil sedikit sebanyak meringankan beban golongan susah. Namun jika benar matlamat kerajaan PR yang ingin menubuhkan sebuah kerajaan kebajikan maka Lim Guan Eng dan para Exconya perlu melakukan sesuatu yang lebih dari apa yang telah dilaksanakan sekarang. Ini kerana, dalam tempoh 1 tahun ini, jumlah penduduk kategori miskin tegar masih tidak ada perubahan malah ia dilihat lebih cenderung kepada peningkatan apatah lagi ditambah dengan pergerakan ekonomi yang amat lembab dan isu pemberhentian pekerja terutama melibatkan sektor swasta.

Soal pembangunan dan kemajuan negeri juga perlu diberi penekanan khusus terutama melibatkan sektor pelancongan, industri kecil sederhana, infrastuktur dan lain-lain yang berkaitan keran ia penting bagi menjana ekonomi negeri. Statistik pelancongan menunjukkan penurunan jumlah pelancong yang datang ke negeri Pulau Pinang walaupun beberapa usaha telah dijalankan termasuk penggunaan papan tanda pelbagai bahasa. Berkenaan dengan pembangunan infrastruktur pula, apa yang dapat kita lihat adalah kebanyakan projek-projek baik pulih kemudahan asas dilaksanakan oleh Pembangunan Negeri yang mana peruntukannya adalah datang dari kerajaan Persekutuan.

Walau apa pun, saya sebagai salah seorang rakyat negeri Pulau Pinang bersedia untuk memberi peluang dan ruang secukupnya kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk sekurang-kurangnya yang pertama dan utama adalah menunaikan janji mereka kepada rakyat Pulau Pinang. Seluruh rakyat Pulau Pinang pastinya ingin melihat satu perubahan ke arah yang lebih baik dari Pakatan Rakyat yang berkuasa sekarang berbanding dengan kerajaan BN yang terdahulu.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama