Advertisement - Contact Us

RM60 Bilion Pakej Rangsangan Hadapi Ekonomi Suram. - MalaysiaKini


"Mar 10, 09 11:11am :Pakej rangsangan kedua yang sedang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak bernilai RM60 bilion.

Jumlah itu akan dibelanjakan dalam tempoh dua tahun, hingga 2010, jumlah besar "yang pertama dalam sejarah ekonomi negara."

Daripada jumlah tersebut, RM15 bilion untuk suntikan kewangan, RM25 bilion (dana jaminan), RM10 bilion (pelaburan ekuiti), RM7 bilion (inisiatif kewangan swasta atau PFI) dan projek-projek di luar belanjawan, dan juga RM3 bilion (insentif cukai).

Jumlah RM60 bilion ini hampir 9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Najib.

Beliau membentangkan pakej itu yang dikenali "bajet mini", bagi menampung bajet 2009 yang diumumkan tahun lalu, bermula jam 4 petang ini.

Berikut intipati pakej rangsangan kedua:

*Pembeli rumah diberikan pelepasan cukai bagi faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama 3 tahun;

*Tambahan RM200 juta bagi membina Rumah Mesra Rakyat untuk golongan berpendapatan rendah;

*Dana RM1.6 bilion untuk menggalakkan pelaburan;

*RM200 juta untuk membaiki dan menyenggara longkang dan jalan;

*RM150 juta untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih rumah kebajikan, balai dan kuarters bomba serta tandas awam di masjid, surau dan kawasan pelancongan;

*Kerajaan akan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah RM5 bilion tahun ini;

*RM1.95 bilion untuk membina dan menambah baik kemudahan 752 sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak, di mana RM300 juta akan digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil dan sekolah mubaligh;

*RM230 juta diperutukkan untuk meningkatkan kemudahan asas terutamanya bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak;

*RM350 juta peruntukkan untuk pembinaan jalan luar bandar;

*Subsidi RM674 juta untuk mengelak kenaikan harga barangan keperluan seperti gula, roti dan tepung; *

*RM480 juta untuk menampung kenaikan kadar tol; *

*Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan RM500 juta untuk Program enyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dengan dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak;

*RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menyediakan infrastruktur dan
meningkatkan aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak;

*RM300 juta untuk program mikro kredit tanpa cagaran di bawah AgroBank bagi embantu petani dan peniaga berasaskan pertanian di luar bandar serta RM50 juta untuk program di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun);

*Tabung Kebajikan Nelayan sebanyak RM2 juta akan diwujudkan dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia;

*RM20 juta akan disediakan untuk meningkatkan kemudahan pusat penjagaan harian warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambah kemudahan pusat asuhan kanak-kanak;

*Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai yang diberi ke atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebanyak RM6,000 sekarang dinaikkan kepada RM10,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan;

*Kerajaan mewujudkan skim Jaminan Modal Kerja berjumlah RM5
bilion untuk membiayai modal kerja syarikat yang mempunyai dana pemegang ekuiti di bawah RM20 juta;

*Kerajaan akan wujudkan Institusi Jaminan Kewangan dengan modal berbayar permulaan RM1 bilion, bagi menyediakan penambahan kredit kepada syarikat yang bercadang mendapatkan pembiayaan pasaran bon. Dijangkakan bon-bon berjumlah RM15 bilion akan diwujudkan menerusi kemudahan berkenaan;

*Terbitan hak oleh syarikat tersenarai tidak lagi perlu kelulusan
Suruhanjaya Sekuriti;

*Bagi menggalakkan pengambilalihan dan penggabungan, Kod untuk tujuan itu tidak lagi terpakai kepada Syarikat Sendirian Berhad;

*Hanya Suruhanjaya Sekuriti perlu dimaklumkan mengenai sebarang pindaan mengenai terma dan syarat terbitan bon dan sukuk;

*Bon boleh tukar dikecualikan daripada keperluan penarafan mandatori;

bullet buttonStatus penduduk tetap boleh dipertimbang sebagai warga asing yang memiliki set bersih tinggi dan membawa masuk lebih AS$2 juta pelaburan atau penabungan di Malaysia, sebagai usaha untuk membawa memasuk indvidu beraset besar dan
berkemahiran tinggi;

*Golongan profesional berkemahiran tinggi juga boleh dipertimbangkan untuk diberi status yang sama;

*Berkuatkuasa 1 Feb, pembayaran levi bagi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan dikecualikan selama enam bulan untuk majikan industri tekstil, elektrik dan elektronik;

*Berkuatkuasa 1 April, kadar pembayaran levi akan dikurangkan kepada 0.5 peratus daripada satu peratus bagi semua majikan untuk tempoh dua tahun;

*Tambahan RM200 juta kepada Dana Pembangunan Automotif;

*Kerajaan akan membantu skim pelupusan kereta Proton dan Perodua, dengan diskaun RM5,000 akan diberikan kepada pemilik kereta sebarang jenama kereta yang ingin melupuskan kereta mereka yang berusia 10 tahun untuk membeli kereta baru Proton dan Perodua;

*Malaysia Airports Holdings Bhd akan membina dan mengendalikan lapangan terbang syarikat penerbangan tambang murah (LCCT) baru di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada anggaran kos RM2 bilion;

*RM250 juta untuk memperluaskan Lapangan Terbang Pulau Pinang;

*Rebat 50 peratus ke atas caj pendaratan akan diberikan kepada semua syarikat penerbangan yang mempunyai operasi di negara bagi tempoh dua tahun mulai 1 April;

*Untuk pelaburan antara 10 Mac, 2009 dan 31 Dis, 2010, kerajaan mencadangkan perbelanjaan loji dan jentera diberikan Elaun Modal Dipercepatkan, yang boleh dituntut dalam tempoh dua tahun;

*Bagi membantu syarikat yang terjejas akibat kesan krisis ekonomi, kerajaan mencadangkan kerugian tahun semasa syarikat dibenarkan dibawa ke tahun sebelumnya. Ini bagi membantu aliran tunai syarikat berbanding layanan cukai sedia ada. Jumlah kerugian yang dibenarkan sehingga RM100,000 setahun yang terpakai bagi tempoh taksiran 2009 dan 2010;

*Paras threshold untuk levi keuntungan luar biasa ke atas sawit akan dinaikkan kepada RM2,500 satu tan untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,000 untuk Sabah dan Sarawak.

*RM200 juta untuk menaik taraf infrastruktur di tempat tumpuan pelancong;

*Dana pelaburan Khazanah Nasional akan dinaikkan sebanyak RM10 bilion, dan akan dilaburkan dalam tempoh dua tahun dengan memberi keutamaan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan;

*RM100 juta untuk membina jejantas dan laluan berbumbung antara bangunan terutaanya di kawasan Setitiga Emas, Kuala Lumpur;

*Kerajaan akan sedia dana berjumlah RM2 bilion bagi membantu pelaksanaan projek menerusi Inisiatif Kewangan Swasta dan usaha sama awam-swasta. Firma swasta akan dipelawa untuk membida bagi memperoleh dana itu;

*Kerajaan bercadang menambah jumlah biasiswa untuk kemasukan ke universiti swasta tempatan;

*Syarikat berkaitan kerajaan akan mendirikan 10 sekolah swasta yang bukan bertujuan membuat keuntungan;

*Sektor perkhidmatan akan diliberalisasikan lagi bagi menarik lebih banyak pelaburan, membawa masuk lebih ramai profesional serta teknologi, selain mengukuhkan daya saingnya;

*Jawatankuasa Pelaburan Asing akan mengguna pakai pendekatan lebih liberal ke arah membawa perubahan positif dan menyediakan persekitaran yang lebih mesra pelabur dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan, termasuk pelaburan langsung asing;

*Radio televisyen Malaysia (RTM) diperuntukkan RM20 juta bagi melaksana beberapa projek untuk membangunkan industri muzik tempatan;

*Semua pemerolehan kerajaan akan dibuat menerusi tender terbuka atau tender terhad, kecuali dalam kes-kes khusus."
- Malaysiakini

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan di atas pengumuman Bajet Mini yang telah dibuat oleh Menteri Kewangan yang juga bakal Perdana Menteri pada petang tadi. Sebenarnya banyak pihak yang hanya meletakkkan sasaran sekitar RM10 Bilion sebagai peruntukan untuk pakej ransangan kedua ini. RM60 bilion yang diumumkan oleh Najib merupakan satu langkah berani yang diambil oleh kerajaan dalam saat negara dan dunia sedang menghadapi krisis ekonomi yang meruncing.

Secara amnya, pakej yang telah diumumkan ini dilihat merangkumi semua aspek yang perlu dan melibatkan banyak pihak yang bakal menerima manfaat dari bajet ini. Tindakan berani pihak kerajaan ini tepat pada masanya memandang keadaan dan kedudukan ekonomi negara walaupun sedang mengalami pertumbuhan yang agak perlahan namun ia dilihat masih stabil jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain. Malah kedudukan ekonomi Malaysia adakalanya lebih baik dari beberapa negara maju yang lain. Maka dengan suntikan pakej yang baru diumumkan ini, ia sekurang-kurangnya dapat menjadi pemangkin atau batu lonjakan bagi meningkatkan atau sekurang-kurangnya memastikan ekonomi Malaysia kekal pada tahap yang baik dan stabil.

Bajet ini juga dilihat memberi banyak ruang dan peluang kepada rakyat untuk kembali memperbaiki mutu atau level kehidupan masing-masing. Ia juga dilihat berjaya membantu menyelesaikan beberapa krisis yang sedang dan bakal dihadapi negara. Pertambahan peluang pekerjaan, sokongan dan bantuan kepada para penganggur dan graduan menganggur, pertambahan peruntukan kepada sektor yang berpotensi dan tidak terkecuali soal kebajikan rakyat menjadi antara agenda utama yang diumumkan dalam pakej ransangan ini.

Kerajaan telah cuba memberikan yang terbaik kepada rakyat. Kini giliran rakyat pula untuk mengambil peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin dan bersama-sama berusaha untuk sekurang-kurangnya memastikan pertumbuhan ekonomi negara sentiasa meningkat ke arah yang positif. Rakyat perlu bersyukur di atas kemakmuran negara yang dikurniakan oleh Allah walaupun dalam keadaan semasa yang tak menentu. Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas kejayaan menyusun atur wang negara yang juga menjadi milik rakyat dengan baik.

-Teks Ucapan Penuh Pakej Ransangan Ekonomi 2009-

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama