Advertisement - Contact Us

Masjid perlu ada gelanggang sukan - Mufti Perlis.

Cadangan membina pusat sukan dan riadah di masjid merupakan satu cadangan yang baik dan boleh mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat dan ummah. Dengan pembinaan pusat sukan ini ia boleh mendorong aktiviti yang sihat terutama kepada anak muda dan mereka yang gemarkan aktiviti bersukan.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan satu cara yang baik untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mukmin dan boleh merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam. Masyarakat setempat boleh menjadikan aktiviti riadah ini sebagai tempat untuk bertemu, berbincang dan bermusyawarah antara satu sama lain. Cadangan ini juga boleh menggalakkan anak muda supaya lebih menghampiri masjid dan sebagai satu cara terbaik untuk lebih mengimarahkan masjid.

Fungsi masjid sebenarnya bukanlah terhad sebagai tempat beribadat semata-mata, malah melalui aktiviti bersukan dan beriadah juga ia merupakan satu cara beribadat yang diredhai Allah. Kebelakangan ini banyak pihak yang menyalah gunakan fungsi masjid dengan menjadikan masjid sebagai tempat untuk berpolitik dan menabur fitnah melalui ceramah-ceramah politik yang diadakan di masjid. Hakikatnya, ini semua bergantung kepada kepimpinan di sesebuah masjid itu. Jika kepimpinan yang ada terdiri dari mereka yang berwawasan dan beretika maka struktur dan peranan masjid itu akan menjadi baik. Begitu jugalah sebaliknya.

"KANGAR 31 Mac — Masjid-masjid di Perlis perlu mempunyai gelanggang sukan selain meningkatkan keindahan senitamannya sebagai langkah mempelbagaikan peranannya, kata Mufti Dr Juanda Jaya hari ini.

Menurutnya, selama ini masjid sering dipakejkan dengan tanah kubur sedangkan ia sewajarnya menjadi pusat masyarakat yang penuh dengan kegiatannya di samping peranan utama sebagai tempat beribadah.

“Apa salahnya, masjid mempunyai segala kemudahan riadah dan apabila tiba waktu solat, semua meninggalkan kegiatan riadah untuk solat berjemaah,” katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai rumusan forum bulan dakwah peringkat negeri Perlis di Galeri Diraja Istana Arau di sini.

Forum itu telah diadakan pada 21 Mac lalu.

Beliau berkata, para pegawai masjid juga digalakkan menyertai askar Wataniah sebagai langkah menggalakkan anak kariah mereka menyertai pasukan sukarelawan yang menjadi benteng pertahanan kedua.

Selain itu, anak-anak kariah juga boleh membantu menangani gejala jenayah dengan sering memberi maklumat mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa melalui masjid.

Katanya, kegiatan jenayah boleh ditangani jika setiap masjid turut mengambil peranan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Inilah pentingnya peranan masjid. Ia bukan sekadar pusat untuk beribadah tetapi pusat masyarakat yang perlu sentiasa dimakmurkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Juanda adalah antara 10 tokoh agama yang dilantik hari ini sebagai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Istana Arau.

Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs menyerahkan watikah pelantikan itu sebelum persidangan MAIPs di dewan Galeri Diraja Istana Arau."
- Utusan Online

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama