Advertisement - Contact Us

Awas! Ejen calon diintip...

Kepada ejen-ejen calon yang akan bertanding dalam Pemilihan Agung UMNO yang akan bermula pada 24 Mac ini dinasihatkan agar jangan terlalu ghairah berkempen hingga sanggup membelakangkan undang-undang dan mengabaikan ketelusan dan kejujuran yang sepatutnya menjadi pegangan parti UMNO. Berkempenlah cara yang sihat dan bermaruah. Jangan sekali-kali menggunakan wang sebagai kaedah untuk berkempen terutama pada saat-saat akhir ini.

Kepada calon-calon yang akan bertanding, diharap masing-masing dapat memainkan peranan dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada para perwakilan dan seluruh penyokong UMNO tak kira yang akan hadir ke PWTC atau seluruh Malaysia. Pastikan ejen-ejen yang akan mewakili calon dan yang akan berkempen untuk calon agar sentiasa mematuhi peraturan dan menghindarkan diri dari terjebak ke kancah politik wang.

Jadikan hukuman yang telah diambil kepada beberapa calon sebelum ini sebagai satu pengajaran dan diharap ianya tidak diulang lagi oleh calon yang lain. Ingatlah bahawa setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita sentiasa diperhatikan kalau bukan oleh manusia, tetapi yang pasti, Allah sentiasa mengawasinya. Marilah kita jadikan Perhimpunan dan Pemilihan Agung UMNO kali ini sebagai yang terbaik di antara yang terbaik. Biarlah para perwakilan melaksanakan tugas memilih pemimpin yang akan menerajui parti dengan penuh ketelusan dan bertanggungjawab.

"KUALA LUMPUR 23 Mac - Awas! Ejen calon yang cuba menabur wang di Perhimpunan Agung UMNO. Pergerakan anda diperhatikan!

Ahli Lembaga Disiplin UMNO, Tan Seri Megat Najmuddin Megat Khas menegaskan, sekiranya didapati bersalah, calon yang memenangi pertandingan bakal berhadapan tindakan dilucut jawatan, manakala wakilnya juga akan dikenakan tindakan tatatertib.

Menurut beliau, Lembaga Disiplin akan menempatkan pasukan pemantau yang tidak akan diketahui identitinya pada setiap masa di perhimpunan itu.

"Mereka yang bertindak sebagai pengintip ini akan berada di merata tempat sepanjang Perhimpunan Agung UMNO berlangsung. Jadi saya nak ingatkan kepada pihak berkenaan supaya berperangai elok dan janganlah cuba-cuba memberi sogokan.

"Lembaga Disiplin akan mengambil tindakan selepas pemilihan, jika calon itu menang dan didapati bersalah akan dilucutkan jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO di sini hari ini.

Megat Najmudin berkata, dalam mesyuarat Lembaga Disiplin itu pihaknya langsung tidak membincangkan mengenai kes-kes politik wang membabitkan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Tadi kita hanya membincangkan mengenai kes-kes yang tertunggak sebelum ini, tidak bincang kes Mohamad Norza dan Azalina," katanya.

Mohamad Norza kini sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang atas tuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sementara suruhanjaya itu juga kelmarin telah mengambil keterangan dari Azalina selama empat jam.

Tambah Megat Najmuddin, adalah menjadi dasar Lembaga Disiplin tidak akan mencampuri siasatan yang dilakukan oleh SPRM melainkan setelah suruhanjaya itu berpuas hati tidak wujudnya kes mengikut akta berkenaan, barulah mereka akan menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin.

"SPRM akan siasat, jika tiada kes mereka akan serah kepada kita apabila didapati terdapat unsur-unsur yang menyalahi etika parti, jadi terpulang kepada kita untuk membincangkannya," katanya."
- Utusan Online

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama