Advertisement - Contact Us

Anwar patut sedar kesalahan – PM - Utusan Online


"MERSING 13 Feb. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut sedar peranannya dalam kekacauan politik yang berlaku di Perak adalah satu kesalahan di sisi Perlembagaan negara.

Justeru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu menggunakan kebijaksanaannya untuk memutuskan sama ada beliau perlu meminta maaf atau tidak kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Anwar perlu memahami bahawa rakyat dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) marah dengan sikap lepas tangan beliau dalam insiden tersebut.

“Anwar perlu faham yang dia telah lakukan satu kesalahan. Kalau tidak... tentulah NGO tidak mengambil pendirian seperti yang kita baca di surat khabar dan ia satu perkara yang perlu kita faham,” katanya.

Abdullah bercakap kepada pemberita selepas melawat Kem Iskandar sempena majlis penganugerahan Beret Hijau Kehormat kepadanya di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas desakan pemimpin NGO yang mahukan Anwar memohon maaf kepada Sultan Perak dan seluruh rakyat kerana menjadi dalang sebenar yang mencetuskan penentangan terhadap institusi raja secara terbuka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, kekalutan politik di Perak berpunca daripada projek 16 September yang dilancarkan oleh Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kaedah lompat parti.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata, terpulang kepada Anwar untuk bertindak tetapi beliau perlu memahami kesalahan tersebut adalah besar di sisi Perlembagaan negara."
- Utusan Online

Segala yang berlaku sejak dari awal lagi sememangnya disebabkan ketaksuban dan kesilapan Anwar Ibrahim. Perkara ini memang jelas dan tidak boleh disangkal lagi. Sifat dan sikap Anwar yang berdendam kepada kerajaan yang pernah memecat dan menghukumnya membuatkan Anwar seperti hilang pertimbangan dan mengambil pelbagai langkah demi untuk memenuhi agenda politiknya. Perkara ini juga telah mengheret DAP dan PAS ke dalam pergolakan dan dendam Anwar yang tak berkesudahan.

Seharusnya Anwar mulai sedar akan kesilapan dan ketelanjurannya selama ini hingga melibatkan dan memporak perandakan pelbagai pihak. Anwar juga telah menyebabkan PAS dan DAP terpesong dari matlamat perjuangan asal. Bak kata pepatah 'terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya'. Kini DAP dan PAS mengalami kesukaran untuk berundur dari pakatan. Ia melibatkan soal kepentingan dan kerajaan negeri yang telah dimiliki.

Terbaru, Anwar telah mengheret institusi di Raja dalam pergelutan politiknya. Tindakan rakan-rakan Pakatannya dilihat seperti membelakangkan sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu. Mungkin mereka mengharapkan sokongan Anwar dalam setiap tindak tanduk kebiadapan mereka. Dan kini mungkin disebabkan keadaan Anwar yang berbelah bahagi membuatkannya seperti cuba melepaskan tangan dan menyusup dirinya agar keluar dari kancah ini.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama