Bukan sahaja di Bukit Selambau yang memperlihatkan usaha lobi melobi untuk menjadi calon Pakatan Rakyat. Malah di Dun Batang Ai juga berlaku perebutan kerusi untuk menjadi calon di antara wakil Parti Keadilan Rakyat dengan SNAP. Masing-masing pastinya tidak mahu melepaskan peluang menjadi calon.
"KUCHING: Pembangkang berkemungkinan akan bertembung sesama sendiri pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, berikutan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) nekad mahu bertanding di situ, ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengesahkan akan bertanding.- B. Harian Online
Difahamkan kedua-dua parti yang bekerjasama di bawah panji Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu itu, masing-masing berminat menurunkan calon, dengan kedua-duanya yakin mempunyai lebih banyak sokongan.
Ketika Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Dominique Ng, meminta Snap memberi laluan kepada PKR bertanding untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Snap pula tetap akan melobi supaya calonnya dipilih oleh Pakatan Rakyat.
Presiden Snap, Edwin Dundang, berkata Snap akan mengemukakan senarai calonnya mengandungi sekurang-kurangnya dua nama untuk dipertimbangkan oleh Ketua Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Snap katanya, yakin boleh menang di situ kerana parti itu sudah lama bertapak di negeri ini termasuk di kawasan DUN Batang Air berbanding PKR.
"Kita tetap akan mengemukakan calon kita untuk dipertimbangkan bertanding. Melainkan PKR ada calon lebih baik dari Snap, mungkin kita akan beri laluan kepada PKR. Kita akan bekerjasama dengan PKR untuk seboleh-bolehnya meletakkan hanya seorang calon mewakili pembangkang," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau bagaimanapun menafikan kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) Pusat Snap, William Sirai Atom, bahawa Snap tetap akan meletakkan calon jika Pakatan Rakyat memilih untuk meletakkan calon PKR bertanding di situ kelak.
William berkata, Snap akan tetap bertanding walaupun terpaksa bertembung sesama sendiri dengan PKR kerana kerusi berkenaan sememangnya ditandingi Snap selama ini.
Sumber memberitahu, pertembungan mungkin tidak dapat dielakkan kerana di kalangan pemimpin SnapP ada yang tidak bersetuju dengan cadangan meletakkan calon PKR bertanding di situ.
Malah katanya, ada kemungkinan orang kuat Snap akan 'menaja' calon bebas bertanding di situ, kalau PKR berkeras mahu bertanding.
Ini dikatakan kerana Snap mahu menjadikan pilihan raya kecil berkenaan sebagai 'kunci' untuk ia kembali aktif dalam politik Sarawak, selepas sekian lama ia gagal dalam percaturannya untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya di negeri ini.
Pada pilihan raya umum negeri 2006, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dublin Unting Ingkot (BN) dicabar oleh calon Snap, Nicholas Bawin Anggat, dalam pertembungan satu lawan satu yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 806 undi.
Bawin bagaimanapun kini sudah menyertai PKR dan namanya dikatakan turut dikemukakan untuk bertanding mewakili PKR di situ, selain bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama empat penggal, Jawah Gerang.
Sementara itu, Dominique berkata, Pakatan Rakyat belum memutuskan tarikh untuk mengumumkan calon kerana masih menunggu masa yang sesuai, walaupun sebelum ini beliau memberitahu bahawa Anwar akan mengumumkan nama calon Pakatan Rakyat dalam minggu ini.
BN pula akan mengumumkan calonnya selepas Mesyuarat BN yang dipengerusikan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Pengerusi BN pada Sabtu ini."