Advertisement - Contact Us

[ISU SEMASA] PANAS!!! 10 Jawapan Tentang 1MDB Yang Sering Jadi Pertikaian... Lubang Fitnah Tersedia, Jika Tak Mahu Baca... #SahabatSMB

10 fakta 'panas' anda perlu tahu tentang 1MDB...

PERTIKAIAN mengenai syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sesuatu yang baharu di dalam negara ini.


Malah ia sudah menjadi perbualan biasa hatta di warung-warung kedai kopi. Namun sejauh mana kita mengetahui kebenaran fakta di sebalik isu 1MDB ini.

Buku 1MDB, "Siapa kata tidak dijawab?", keluaran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) mungkin ada jawapan untuk anda.
Berikut kami senaraikan 10 soalan dan jawapan berfakta mengenai isu 1MDB:-

1) Adakah 1MDB menerima RM42 bilion daripada kerajaan?

Jawapan: Tidak. 1MDB hanya menerima RM1 juta dalam bentuk ekuiti pada tahun 2009 dan pinjaman jangka masa pendek sebanyak RM950 juta pada Mac 2015 dalam bentuk kredit tersedia.

1MDB tidak dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan perlu mencari dana dalam pasaran modal tempatan dan antarabangsa serta melabur menggunakan modal sendiri.
RM42 bilion dana hutang 1MDB adalah di dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk. Hanya RM5.8 bilion daripada RM42 bilion dijamin oleh kerajaan dan pelaburan menggunakan wang sendiri bukan dari peruntukan kerajaan.

2) Benarkah dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa RM42 bilion lesap?

Jawapan: Tidak. Daripada jumlah RM42 bilion dana hutang ini, RM18 bilion telah digunakan untuk pembelian syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), RM1.7 bilion adalah kos pembelian tanah, RM15.4 bilion adalah dana pelaburan, RM5.8 bilion dibelanjakan untuk kos kewangan dan baki sebanyak RM900 juta dalam bentuk tunai. Ini jelas berdasarkan penyata kewangan 1MDB yang diaudit.

3) Benarkah pelaburan dalam usaha sama Petrosaudi satu penipuan?

Jawapan: Tidak benar. Pada 2009, 1MDB dan Petrosaudi telah menjalin usaha sama untuk menggalakan kerjasama ekonomi jangka panjang di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, 1MDB membuat pelaburan ke dalam sebuah syarikat usahasama dengan Petrosaudi yang ditubuhkan untuk membuat pelaburan dalam projek-projek yang akan menjana manfaat kewangan dan strategik untuk kedua-dua negara.
Bagaimanapun, disebabkan pelbagai faktor, kedua-dua pihak akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan itu. Kesan daripada itu, pelaburan 1MDB dalam syarikat usahasama tersebut telah ditukarkan kepada instrumen pendapatan tetap iaitu dalam bentuk nota Murabaha sebanyak AS$1.83 bilion, yang pada dasarnya adalah sebuah pinjaman, dengan kadar faedah tahunan sebanyak 8.75 peratus.Pada tahun 2012, pinjaman ini telah dibayar sepenuhnya dengan jumlah AS$2.318 bilion dalam bentuk dana, di dalam dana yang didaftarkan di Cayman Islands, dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta.


4) Benarkah Petrosaudi ditubuhkan pada 2009 dan hanya merupakan syarikat kecil dan meragukan?

Jawapan: Tidak benar. Petrosaudi adalah sebuah syarikat eksplorisasi dan pengeluaran minyak yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan mempunyai pejabat di London, United Kingdom: Riyadh, Arab Saudi dan Geneva, Switzerland.
Petrosaudi mempunyai pelbagai projek di Timur Tengah, Amerika Latin, Afrika dan beberapa rantau strategik. Petrosaudi juga memiliki kapal dan melaksana operasi cari gali minyak iaitu, Petrosaudi Saturn, dibina pada 1983 oleh Keppel Fels, Singapura dan Petrosaudi Discover, dibina pada tahun 1977, berkapasiti kasar 5,897 ton dan boleh mencari gali sedalam 20,000 kaki ke dalam paras laut.

5)  Kenapa perlu ada 1MDB sedangkan sudah ada Khazanah Nasional? Tidakkah fungsinya bertindih?

Jawapan: Pada asasnya peranan Khazanah Nasional dan 1MDB tidak bertindih. Khazanah Nasional terlibat dalam pelaburan dan pengurusan aset kerajaan dan perniagaan sedia ada seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), MAS, Plus Expressway dan Telekom.

Sebaliknya 1MDB lebih tertumpu kepada projek 'greenfield' atau pembangunan projek baharu bermula dari peringkat awal. (From Scratch).

6) Benarkah tiada wang sebanyak AS$2.318 bilion di Cayman Islands?

Jawapan: 1MDB menerima unit dana bernilai AS$2.318 bilion dalam sebuah dana yang didaftarkan di Cayman Islands, hasil daripada pelaburan AS$1.83 bilion dengan Petrosaudi, iaitu keuntungan AS$488 juta dalam jangka masa tersebut.

Dana yang didaftarkan di Cayman itu diuruskan oleh Bridge Partners, sebuah syarikat pengurusan dana berpengkalan di Hong Kong. Unit-unit dana ini dimiliki oleh 1MDB melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Brazen Sky, dan dipegang melalui BSI Bank Singapura yang bertindak sebagai penjaga.

Penyata kewangan diaudit 1MDB bertarikh 31 Mac 2014 telah merekodkan nilai AS$2.318 bilion yang merupakan dana yang diperolehi hasil pelaburan dalam Petrosaudi.

Tranche pertama bernilai AS$1.22 bilion unit dana telah ditebus dengan tunai pada tahun 2014 dan wang ini digunakan untuk pembayaran bagi membatalkan saham perniagaan tenaga yang diberikan kepada Aabar, modal kerja dan bayaran faedah. Pada Januari 2015, 1MDB telah mengumumkan bahawa baki AS$1.1 bilion telah ditebus.


7) Benarkah AS$700 juta daripada pelaburan dalam Petrosaudi lesap dan dimasukan ke dalam akaun Good Star milik Jho Low?

Jawapan: Tidak benar, pelaburan AS$1.83 bilion 1MDB dalam sayrikat usahasama dan syarikat milik Petrosaudi dipulangkan kembali sebanyak AS$2.318 bilion, iaitu dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta.
Fakta ini boleh dibuktikan melalui semakan ke atas penyata kewangan diaudit 1MDB. Tiada sebarang kehilangan dana kepada Jho Low ataupun mana-mana pihak ketiga lain.

Petrosaudi dalam kenyataan media bertarikh 1 Mac 2015 menyebut semua dana 1MDB yang dilaburkan telah disalurkan ke dalam syarikat subsidiari miliknya dan bukan ke dalam sayrikat milik Jho Low. Sebaik 1MDB keluar daripada usahasama itu, Petrosaudi telah membayar dana pelaburan 1MDB sepenuhnya bersama keuntungan.

8) Apa kaitan Jho Low dengan 1MDB, adakah dia merupakan penasihat 1MDB?

Jawapan: Jho Low tidak pernah dilantik sebagai penasihat 1MDB dan tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam 1MDB. Jho Low juga tidak pernah menerima sebarang bayaran daripada 1MDB.
Bagaimanapun memang diketahui umum dan diakui Jho Low bahawa dia pernah memegang jawatan sebagai penasihat di dalam Terengganu Investment Authority (TIA), Jho Low meletak jawatan sebagai penasihat pada bulan Mei 2009 sebelum TIA diambil alih oleh kerajaan pusat pada bulan Julai 2009 dan entiti  baru ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2009.

9) Benarkah 1MDB gagal bayar hutang sebanyak dua kali?

Jawapan: Tidak benar, 1MDB tidak pernah gagal dalam membayar hutangnya, sama ada hutang prinsipal atau faedah digunakan daripada mana-mana hutang.
Pada Februari 2015, 1MDB membayar hutang sebanyak RM2 bilion kepada Konsortium Peminjam tempatan. Pada Jun 2015, 1MDB menyelesaikan hutang berjumlah RM3.6 bilion dari Konsortium Bank luar negara. Dakwaan 1MDB gagal membayar hutang hanya satu dakwaan yang tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang bukti.


10) Benarkah 1MDB terpaksa meminjam daripada Ananda Krishnan sebanyak RM2 bilion untuk bayar faedah ?

Jawapan: Tidak benar. 1MDB tidak meminjam daripada Ananda Krishnan, sebaliknya meminjam RM2 bilion seperti yang diatur oleh anak Syarikat Tanjong PLC, untuk membayar pinjaman yang diberikan oleh peminjam tempatan, dan bukan untuk membayar faedah seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Berdasarkan perjanjian pada 7 Ogos 2014 diantara Powertek Investment Holdings (PIH) dan Tanjong, Tanjong mempunyai tanggungjawab untuk melanggan ekuiti berjumlah RM2 bilion dalam PIH dimana hasil-hasilnya digunakan untuk pembayaran semula pinjaman RM5.5 bilion yang diuruskan oleh Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. Maka pinjaman yang diatur oleh Tanjong tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memenuhi kewajipan berdasarkan perjanjian 7 Ogos.

-Sinar Harian-

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama