Advertisement - Contact Us

Pas Pusat tolak hasrat Pemuda PAS Pulau Pinang.

PAS Pusat melalui Setiausaha Agung Partinya, Datuk Kamaruddin Jaafar, telah mengumumkan untuk tidak meletakkan calonnya bagi merebut kerusi DUN Penanti dan memberi laluan kepada sekutunya dari PKR, Dr. Mansor Othman untuk bertanding di situ. Ini sekaligus telah menamatkan spekulasi yang sebelum ini telah bertiup kencang bila mana Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin berkeras mahu calon PAS bertanding di Penanti walaupun terpaksa bersaing dengan calon dari PKR.
Keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat ini boleh diandaikan sebagai satu langkah selamat terutama bagi PAS untuk mengelak dari kemelut yang kebelakangan ini menghantui Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang terus berpanjangan. PAS juga sebenarnya masih belum bersedia untuk mengambil langkah berani yang lebih bersifat melawan arus PR walaupun sedar senario politik semasa dalam Pakatan Rakyat jelas tidak menyebelahi Parti PAS.

Kini seluruh rakyat Malaysia hanya menantikan jawapan atau keputusan yang bakal diumumkan oleh Biro Politik UMNO yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak samada akan meletakkan calon BN bagi menentang calon PKR atau terus kekal dengan cadangannya sebelum ini untuk tidak bertanding di Penanti.

"KUALA LUMPUR 30 April - Pas Pusat menolak cadangan sayap Pemuda parti itu di Pulau Pinang yang mahu meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 13 Mei ini.

Sebaliknya, pucuk pimpinan Pas mengambil ketetapan menyokong Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Dr. Mansor Othman yang merupakan calon pilihan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung parti, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, keputusan pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihan raya adalah kuasa pucuk pimpinan.

"Dalam hal pemilihan calon di Penanti, Pas Pusat telah mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan PKR.

"Kami mengambil ketetapan bersetuju Penanti ditandingi oleh calon PKR dan Pas akan menyokong calon yang telah dipilih,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke kolam takungan Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART) di sini hari ini.

Kamaruddin diminta mengulas hasrat Pemuda Pas Pulau Pinang yang tetap berkeras mahu calon mereka diletakkan pada pilihan raya di Penanti.

Ketuanya, Mohd. Hafiz Mohd. Nordin semalam bertegas, Pemuda Pas negeri itu telah pun mempunyai calon yang sesuai dan akan tetap menamakan calon mereka walaupun terpaksa berdepan dengan PKR.

Mengulas lanjut mengenai kemelut yang melanda itu, Kamaruddin berkata, Pas Pusat akan turun padang bagi menjelaskan isu tersebut kepada ahlinya dengan segera.

"Kami memang telah dimaklumkan oleh Pas negeri dan masalah ini akan diselesaikan di peringkat dalaman Pas.

"Adalah tidak benar keputusan pemilihan siapa yang sepatutnya bertanding di Penanti hanya diputuskan oleh satu atau dua individu sahaja kerana perbincangan telah dibuat,'' jelasnya.
Sehubungan itu, Kamaruddin meminta agar Pas Pulau Pinang menerima keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.

Tambahnya, dalam sebuah parti yang besar dan mengamalkan sistem demokrasi perbezaan pendapat di kalangan ahlinya adalah perkara biasa.

Menjawab pertanyaan sama ada kemelut yang berlaku itu akan menjejaskan peluang pakatan pembangkang, Kamaruddin berkata, peluang untuk pakatan memenangi pilihan raya tersebut adalah cerah.

Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya yang juga ahli PKR, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan pada 16 April lalu atas alasan mahu melanjutkan pelajaran."
- Utusan Online

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama