Advertisement - Contact Us

Samy Vellu Kekal Presiden MIC. (Ayoyo...) - Bernama


Syabas dan tahniah diucapkan kepada peneraju atau Presiden parti MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu kerana berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya selama ini selaku presiden parti. MIC, parti ke-3 terbesar di antara parti-parti komponen Barisan Nasional mewakili masyarakat kaum India dan juga merupakan sebuah parti yang kekal dan setia bersama BN sejak zaman Parti Perikatan lagi.

Walau apapun secara peribadi, sesuatu perlu dilakukan di dalam MIC ini kerana jika dilihat senario politik semasa, masyarakat kaum India semakin menjauhkan diri dari MIC. Pelbagai pertubuhan NGO telah wujud bagi menunjukkan rasa protes mereka di atas kelemahan yang timbul dalam MIC. Antaranya Hindraf yang secara jelas dan lantang menentang MIC ini dan beranggapan bahawa MIC gagal melaksanakan tugas untuk membela kaum India dengan baik.

Jika dibandingkan dengan parti komponen lain, MIC merupakan parti tunggal yang masih mengekalkan presiden lamanya hingga sekarang. Walhal, rakan-rakan seperjuangan Samy Vellu seperti Tun Mahathir, Lim Liong Sik, Lim Kheng Yaik sudah pun awal-awal lagi berundur dari arena politik ini bagi memberi laluan kepada muka-muka baru dan suara-suara muda untuk meneruskan perjuangan parti. Mungkin ada agenda politik tertentu yang sedang dimainkan oleh Samy Vellu sebelum mengambil keputusan untuk berundur. Beliau mungkin sedang mencari pengganti yang paling sesuai dan layak untuk meneruskan perjuangan yang bakal ditinggalkannya nanti. Atau mungkin Samy Vellu mahu membuktikan kepada Malaysia bahawa negara masih mahukannya dan beliau mahu pengunduran beliau berlaku bukan kerana dia dibuang.

Ada sesuatu kemushkilan yang timbul tentang kejayaan Samy Vellu mengekalkan kerusinya ini. Bagaimana boleh berlaku begitu banyak kertas pencalonan yang ditolak baik dipihak Samy Vellu mahupun dipihak pencabarnya. Ada sesuatu yang mungkin berlaku yang perlukan kajian dan penelitian yang mendalam. Mustahil ahli MIC masih belum memahami cara untuk membuat pencalonan atau masih gagal mengikuti peraturan yang telah ditetapkan parti dalam membuat sebarang pencalonan???

"KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC bagi penggal ke-11 apabila pencalonan jawatan Presiden parti itu di ibu pejabat parti ditutup tengah hari ini.

Samy Vellu mendapat 455 pencalonan manakala pencabarnya bekas Naib Presiden MIC Datuk M. Muthupalaniappan hanya mendapat lima pencalonan.

Mengikut perlembagaan parti itu, seorang yang mahu menjadi bertanding jawatan presiden perlu mendapat 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan dua penyokong, bagi melayakkannya bertanding. Semua pencadang dan penyokong mesti terdiri daripada pengerusi cawangan.

Seorang Presiden MIC akan dipilih oleh kira-kira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara, jika ada pertandingan.

Ketua Jawatankuasa Pemandu bagi Pilihan raya Presiden MIC Datuk K.Vijayanathan mengumumkan perkara di depan kira-kira 500 penyokong Samy Vellu pada kira-kira pukul 1.45 tengah hari.

Bekas menteri Kerja Raya yang tewas di Parlimen Sungai Siput dalam pilihan raya umum 2008, menerajui parti yang mewakili kaum India sejak 1979, sebelum menjadi pemangku presiden, berikutan kematian presiden parti pada masa itu Tan Sri V. Manikavasagam.

Kemenangan Samy Vellu hari ini adalah adalah sama dengan tarikh beliau menjadi ketua parti pada 1981 iaitu 28 tahun yang lalu.

Semasa membuat pengumuman itu, Vijayanathan berkata Samy Vellu mendapat 572 pencalonan dengan 117 pencalonan ditolak kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan undang-undang kecil pilihan raya presiden.

Muthupalaniappan mendapat 53 pencalonan tetapi 48 daripadanya ditolak atas sebab yang sama," katanya.

"Jawatankuasa Pemandu pilihan raya telah mengesahkan semua kertas-kertas pencalonan dan hasilnya kami telah menolak pencalonan dari kedua-kedua yang bertanding.

"Tugas kami adalah untuk mematuhi perlembagaan dan undang-undang kecil pilihan raya presiden dan pada akhirnya kami dapati hanya seorang calon yang layak bertanding. Kami terikat di bawah perlembagaan untuk mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Samy Vellu sebagai presiden bagi penggal 2009-2012," katanya.

Sementara itu, Samy Vellu dalam ucapan sempena kemenangannya mengulangi kenyataannya bahawa ini mungkin merupakan pilihan raya presiden terakhir beliau dan akan menyerahkan jawatan tertinggi MIC itu kepada seorang pemimpin "yang benar-benar berkebolehan".

Bagaimanapun, beliau tidak memperinci bila beliau akan menyerah kuasa. Pemilihan bagi semua jawatan lain - timbalan presiden, naib presiden dan 23 anggota kerja pusat -- dijangka pada September.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan, bahagian dan pengerusi perhubungan negeri yang telah bekerja kuat bagi memastikan kemenangan saya. Ini bukan sahaja kemenangan saya tetapi juga kemenangan bagi semua pemimpin akar umbi.

"Mandat ini akan dipelihara dan usaha kita bagi membina semula parti, yang kini sedang berjalan akan diteruskan. Kita juga akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam tiga pilihan raya kecil terutama di Bukit Selambau," katanya.

Samy Vellu berkata beliau telah berada di Kedah sejak tiga minggu lepas dan yakin calon BN akan memenangi kerusi dewan undangan negeri kawasan itu."
- Bernama

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama